Bicara Hati

Tengku Syahran melemparkan fail-fail yang dipegang ke atas meja. Kertas-kertas kerja yang bertaburan di sekitar lantai dibiarkan menghiasi biliknya yang sememangnya berserabut. Kerutan di dahi menunjukkan otaknya yang sedang bingung ketika itu. Satu kerja yang dilakukan tidak langsung menarik perhatian. Asyik-asyik wajah Zahlia yang muncul dalam fikiran. Ditoleh ke kiri, Zahlia sedang tersenyum. Ditoleh ke kanan, Zahlia sedang ketawa. Ah, segala-galanya rumit mengganggu ingatan! Tengku Syahran menyandarkan tubuh ke kerusi. Termenung lagi! Itulah rutin hariannya sejak dia cuba melupakan Zahlia. Namun, dia tidak berjaya. Kekerapan wajah Zahlia muncul dalam ingatannya semakin menjadi-jadi mengganggu hidupnya. Tengku Syahran mengeluh. Sudah tiga bulan hubungannya dengan Zahlia hambar dan dingin. Tiada lagi gurauan yang selalu lahir dari bibirnya untuk mengusik wanita itu. Semuanya hanya kesepian yang melayari setiap ruang antara dia dan Zahlia. Tengku Syahran akui Zahlia masih belum berputus asa memujuknya di mana-mana. Tidak kiralah dia sedang bekerja atau di rumah. Sekiranya dia di pejabat pasti ada sahaja bungkusan yang dihantar. Jika dia di rumah, Zahlia akan merayunya selepas solat berjemaah. Namun, Tengku Syahran sengaja mencipta ego antara mereka. Dia gembira apabila Zahlia menantinya pulang setiap hari. Kadangkala sampai tertidur di kerusi panjang. Kalau boleh Tengku Syahran mahu perkara itu menjadi kebiasaan bagi wanita itu. Dia mahu hanya wajah wanita itu yang datang kepadanya ketika dia sedang keletihan seharian di pejabat. Sesungguhnya Tengku Syahran masih menyayangi wanita itu! Tiba-tiba pintu biliknya terkuak. Tengku Syahran mendongak. Kelihatan wajah Adli terpacul di situ. Tengku Syahran menjatuhkan kepalanya semula. Membiarkan lelaki itu masuk ke biliknya seperti biasa. Adli duduk di hadapan Tengku Syahran. Memerhati gelagat teman yang seperti menanggung beban masalah. Adli sudah tahu puncanya. Anissa sendiri yang memberitahunya semalam. “Syah, apa kena dengan kau ni sebenarnya? Kau dah gila agaknya?” Adli bersuara tenang dengan matanya tepat memandang Tengku Syahran. “Gila?? Aku gila?? Entah. Aku pun tak sedar,” jawab Tengku Syahran masih memandang syiling pejabatnya. Adli mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. “Apa yang kau nak sebenarnya Syah? Dulu kau yang beria-ia nakkan si Alia tu! Sekarang, bila dia dah datang, kau buat begini pulak! Kau ingat dia tu apa? Bila dah bagi harapan, dia pun dah percayakan kau, kau tinggalkan dia! Hisy… tak masuk akal,” ujar Adli dengan sisa kemarahan. Dia hairan dengan tindakan Tengku Syahran yang berubah-ubah. “Bagaimana kau tau hal ni?” soal Tengku Syahran hambar. “Dia datang cari Anis. Rupa-rupanya kau dah tak tegur dia selama tiga bulan, Syah. Kalau ikut Islam dah berdosa. Kau langsung tak beritahu aku masalah kau. Kenapa?” “Hal rumah tangga aku, buat apa nak heboh-heboh!” Adli ketawa. “Hei, sejak bila kau pandai nak berahsia ni? Dulu pantang ada masalah sikit, kau cari aku. Sekarang, masalah yang rumit macam ni pun kau boleh buat main-main. Pelik!” Adli masih ketawa. “Ini hal antara aku dengan Alia, Li! Biar aku selesaikan sendiri.” Suara Tengku Syahran tegas. “Tapi apa yang kau nak buat? Dia menangis tersedu-sedan mengadu kat Anis. Kau tak kesian ke? Dulu, kau yang hampir setengah mati dibuat dia. Bila dah jadi macam ni, kau main-mainkan perasaan dia. Manusia jenis apalah kau ni Syah?” Tengku Syahran diam memikirkan kata-kata Adli. Pedih hatinya dituduh begitu. “Li, aku masih sayangkan dia. Aku tak pernah buang dia dari hatiku. Tapi, ego dia tinggi sangat. Aku bengang!” Tengku Syahran berkata geram. “Sekarang kan dah okey. Dia beritahu Anis yang dia dah sayangkan kau. Kenapa kau pulak nak melayan ego?” “Aku sakit hati tau tak? Dia buat aku macam aku ni tak ada perasaan. Kalau macam nilah hidup yang perlu aku lalui sepanjang hayat, lebih baik kami buat hal sendiri.” “Astagafirullah-al-azim… mengucap Syah! Kau ni, makin lama aku kenal, makin tak faham aku dengan perangai kau!” Adli menggerutu. Tengku Syahran ingin membalas namun suara yang bergema di interkom mematikan niatnya. “Encik Syahran, ada bungkusan untuk encik.” Suara Yani bergema di situ. Tengku Syahran memandang Adli. “Nak pujuk akulah tu,” ujar Tengku Syahran kepada Adli. Temannya itu hanya ketawa. “Kalau bungkusan seperti selalu tolong batalkan. Tak pun awak buang ajelah,” luah Tengku Syahran di interkom. “Bukan. Yang ini lain sikit,” ujar Yani lagi. Tengku Syahran terdiam sebentar. “Tak apalah. Bawa masuk.” Tidak lama kemudian jari-jemari Tengku Syahran sedang menari-nari di permukaan kotak yang berbungkus cantik. Kalau selalu, bungkusannya hanya menggunakan kertas yang berwarna coklat. Tetapi hari ini kotak yang dibungkus kemas itu kelihatan amat menarik. “Bukalah Syah! Aku pun nak tengok jugak apa yang Alia bagi,” beritahu Adli tidak sabar. Tengku Syahran meletakkan bungkusan itu di atas meja. “Mesti benda yang merepek-repek macam selalu. Dia ingat aku ni perempuan agaknya. Bagi coklat, bunga, candy! Bosan,” rungut Tengku Syahran. “Habis kau tak naklah ni? Biar aku ambil.” Adli mencapai bungkusan itu. Tengku Syahran membeliakkan mata. “Eh, mana boleh? Ini Alia bagi aku!” Tengku Syahran merampas semula. “Hipokrit! Perangai macam budak-budak. Mengaku ajelah yang kau dah termakan pujuk rayu Alia?” Tengku Syahran menunduk “Aku kalah, Li! Alia betul-betul mampu buatkan aku jadi gila,” ucap Tengku Syahran. “So, tunggu apalagi? Bukalah… aku pun nak tengok jugak!” “Eeee… tak malu. Pergilah balik bilik kau. Sibuk aje.” “Eleh, berlagak. Nanti, bila aku dapat hadiah dari Anis, tak ingin aku nak tunjukkan pada kau.” “Kalau nak… merajuklah macam aku!” Adli melangkah keluar dengan ketawanya. Tengku Syahran tersenyum melihat kelibat Adli berlalu pergi. Dia berasa lega tiba-tiba. Bungkusan itu terus dikoyak sehingga matanya terpahat pada sebentuk kotak yang berukir cantik. Terus pandangannya melekat pada sebentuk jam berjenama Guy Laroche berwarna perak yang menyilaukan mata. Bibir Tengku Syahran tersenyum. Secebis kad kecil yang terselit di tepi kotak itu ditarik keluar. Tengku Syahran memahatkan pandangan pada bait-bait tulisan yang tertera di kad kecil itu. Untuk abang tersayang, Alia masih tetap mahu berusaha untuk memujuk hati abang. Alia dah sedar kesilapan Alia. Maafkan Alia! Tengku Syahran tersenyum lagi. Jam yang tersepit di dalam kotak itu ditarik. Jam lama yang masih tersangkut di pergelangan tangan, dibuka lalu Tengku Syahran menyarungkan jam berwarna perak itu di pergelangan tangannya. Jam Guy Laroche itu terus dibiarkan melekat sehingga dia leka meneruskan kerjanya.

Leave a Reply