KL Dimana Suamiku
Natasya menarik nafas panjang. Ya… dia tidak boleh nak komen apa-apa. Sikap suaminya sudah jauh bertentangan daripada yang dikenalinya dulu. Malah, pernah sekali dahulu, Nazril langsung tidak mahu membawa Natasya pergi berjumpa doktor.
“Abang malas nak pergi. Tasya pergilah sendiri. Abang ada banyak kerja hari ini.” Demikian kata suaminya pagi itu apabila disuarakan tentang temujanji dengan Dr. Suhaimi.
“Abang sekali pun belum pernah jumpa Dr. Suhaimi.”
Suaminya terkejut. “Ah… bukan penting sangat… you can handle it yourself!”
“Kenapa pulak tak penting? Kalau dengan doktor bersalin abang rasa tak penting, dengan siapa lagi yang lebih penting mesti abang jumpa?”
Nazril diam. Dia sibuk bersiap. Nampak terkocoh-kocoh.
“Ah… lain kali ajelah. Bukan tak ada masa lagi, baru dua bulan,” katanya datar.
“Dah masuk lima bulan bang. Bukan dua bulan!”
Nazril diam. Natasya sudah tidak kuasa hendak bertekak. Dia sedar bibit pertengkaran itu jika dilayan akan menyusahkan dirinya juga. Seperti dua hari lalu… dia ditolak ke tepi pintu apabila soalan demi soalan tentang kenapa sikap Nazril berubah bertubi-tubi disuarakan. Akhirnya, pasti Nazril akan bosan dan menggunakan kekerasan.
Natasya tidak mahu merasa sakit lagi. Dia tidak mahu ada luka lain di tubuhnya. Oleh itu dia ambil keputusan lebih baik mendiamkan diri sahaja. Biarlah persoalan dan kekusutan itu disimpan kejap di dalam hati.
“Breakfast dah ready ke belum? Buat apa pagi ni?”
“Tasya cuma buat roti telur aje, makanlah. Air kopi pun dah siap.”
“Hari-hari roti. Hari-hari roti! Jemu… tahu tak?” Nazril terus mencapai briefcasenya dan menarik tali leher yang tergantung.
Natasya memandang sahaja lagak suaminya yang sudah berubah hampir100 peratus akhir-akhir ini. Nazril tidak lagi periang macam dahulu. Dia tidak lagi lucu macam dulu. Sekarang, sudah susah hendak mendengar dia bercakap. Apalagi berlawak macam dulu.
Apakah puncanya dan kenapa semua ini harus terjadi amat sukar untuk Natasya jawab. Sebabnya dia sendiri tak tahu kenapa. Atau kalau Nazril memberitahu apa masalahnya, sekurang-kurangnya Natasya boleh membantunya keluar dari masalah.
Ataupun jika Nazril membenci tindak-tanduk Natasya, dia harus memberitahu Natasya supaya Natasya boleh berubah. Perubahan sikap suaminya itu kerap bermain dalam fikiran Natasya.
Kenapa dan mengapa..?
Dan Natasya langsung tidak ada jawapannya! Pagi itu untuk kesekian kalinya Nazril keluar dari rumah tanpa satu ciuman pun di pipi Natasya, tidak seperti dulu-dulu.
NATASYA juga tinggalkan rumah dengan begitu sahaja, tanpa berkemas. Dia memang sudah tidak larat. Dia memandu perlahan-lahan dari Jalan Damansara ke Ampang Park.
Dia cuba beri tumpuan pada kereta yang dipandu walaupun sebenarnya fikirannya berserabut.
Apakah Nazril cemburu dengan Baharin? Ataukah dia sengaja memberi ruang supaya Natasya dan Baharin semakin rapat?
Minggu lalu Natasya menulis di dalam diarinya:
Jika dia cemburukan Baha, kenapa dia selalu menyuruh Baha menemaniku ke mana-mana?
Kenapakah dia selalu menyuruh Baha menghantarku atau mengambilku di pejabat jika kebetulan tiba hari aku tidak sihat?
Tapi akukan isterinya… kenapa semua hal aku, Baha yang harus uruskan? Kalau Kak Zai tak bahagia, haruskah penyakit itu juga menyerang adiknya kini?
Tapi Kak Zai lain, Nazril lain. Harap-harap Kak Zai tak tahu. Harap-harap emak mentua pun tak tahu. Aku malu. Kalau perpisahan terjadi, mana nak letakkan muka?
Agaknya kerana terlalu memikirkan tentang Baharin, telefon Natasya berdering. Memang pun Baharin yang memanggil.
“Tasya di mana tu?”
“Masih dalam kereta, on the way to Ampang Park. Nak jumpa klien. Kenapa Baha?”
“Nazril… Tasya.”
“Kenapa dengan dia?”
Baharin diam. Natasya terdengar Baharin sedang menarik nafas.
“Tasya kena kuatkan semangat. Jangan gelabah okey. Sebenarnya dia baru aje telefon, katanya dia accident di Cheras.”
Natasya terdiam seketika.
“Tasya… Tasya okey?” sergah Baharin dari hujung sana.
Nazril accident… Natasya tidak tahu sama ada harus tersenyum atau bersedih tatkala menerima perkhabaran itu. Apakah itu ada tanda yang tidak baik? Atau itukah titik tanda suaminya akan berubah sikap?
Tapi kenapa Nazril harus menelefon Baharin dulu memberitahu tentang kemalangan itu? Mengapa Nazril tidak menelefonnya terus memberitahu padanya sendiri tentang kemalangan itu?
“Tasya… Tasya okey?”
Natasya terdiam seketika. Jalan raya di hadapannya agak sibuk.
“Tasya, are you okey? Jawablah Tasya.”
“Yes… I’m okay Baha.”
“Nazril tak nak beritahu sendiri pada Tasya… agaknya dia bimbang Tasya terkejut dan risaukan dia. Sebab itu dia beritahu Baha terlebih dulu. Dia minta Baha sampaikan pada Tasya. Dia tak apa-apa, cuma calar-calar aje.”
Natasya tersenyum pahit mendengar kata-kata Bahrin.
“Tasya okey Baha… Tasya ada janji dengan klien ni. Penting sangat, tak boleh nak batalkan. Appointment ini pun dah dua kali tertunda. Rasanya Tasya tak sempat nak tengok dia. Boleh tak Baha aje yang tolong tengokkan dia? Dia tak teruk sangat, kan?”
“Tapi Tasya…” Baharin terkejut dengan sikap Natasya. “You boleh batalkan appointment tu, kan?”
“It’s okay Baha. I’m okay. Could you please handle it?”
“Sebenarnya Tasya… dia berdua dalam kereta tu. Entahlah dengan siapa. Baha pun tak bertanya lanjut. Tapi kata Nazril dia okey, dia tak teruk sangat. Nasib baik tak apa-apa… kereta aje yang teruk sikit.”
“Berdua? Tapi dengan siapa?”
“Entah Tasya… nantilah I call you later.”
“Okay, bye.”
“Drive carefully Tasya.”
Natasya mematikan talian telefonnya dan terus memandu menghala ke Jalan Ampang. Ya… dia sedikit pun tidak terasa apa-apa apabila diberitahu tentang kemalangan yang menimpa Nazril. Hatinya benar-benar keras kala itu. Sakit hatilah yang membuatkan dia langsung tidak ada rasa kasihan langsung padi suaminya itu.
Bagaimanapun hatinya berdetik ketika Baharin berkata Nazril bukan sendirian apabila kemalangan itu berlaku. Maknanya ada dua orang dalam kereta yang terbabit dalam kemalangan itu.
Persoalannya, suaminya dengan siapakah ketika itu? Yang seorang lagi itu lelaki atau perempuan?
Jangan-jangan segala rahsia Nazril akan terbongkar tidak lama lagi. Dan kemalangan itu akan menjadi titik mula terbongkar segala rahsia yang disorok oleh suaminya daripadanya. Jangan-jangan rahsia itulah juga yang membuatkan hubungan mereka semakin hambar akhir-akhir ini.
Natasya tidak mahu melayan perasaannya dengan fikiran yang bukan-bukan. Dia malas hendak memikirkan tentang hal Nazril. Biarlah dia dengan lagaknya dan yang pentingnya Nazril akan sedar segala kesilapannya selepas kemalangan itu.
Selepas appointment dengan kliennya di Jalan Ampang tengah hari itu, Natasya tergerak untuk melawat suaminya di hospital. Tetapi entah bagaimana dia menukar fikiran… tunggulah petang nanti, katanya sendirian.
Kereta dihalakan masuk ke Jalan Damansara. Dan Natasya terus memandu balik ke pejabatnya. Dia buat-buat lupakan sebentar hal Nazril. Urusan di pejabat dibereskannya satu-persatu bagaikan hal kemalangan itu tidak memberi kesan langsung dalam dirinya.