Saat Cinta Bersemi
Seminggu lamanya Nur Dhuha terperuk di dalam rumah. Bukan sahaja dia menyembunyikan diri daripada jiran-jiran, malah dengan Maya pun dia tidak mahu bertemu. Dia juga telah mengambil cuti daripada menonjolkan dirinya di Hotel Sari Astana. Dia malu mahu memperlihatkan kesan lebam dan luka di seluruh wajah dan tubuhnya.
Keadaan itu hanya akan menimbulkan umpatan dan persoalan di bibir mereka yang memandang. Sudah beberapa kali Maya mencarinya di rumah. Tetapi Nur Dhuha lebih rela mendiamkan diri. Jiran-jiran di sebelah rumahnya juga sentiasa bercakap-cakap mengenai Badrul membuatkan Nur Dhuha jadi segan untuk berdepan dengan orang ramai. Apatah lagi dengan keadaan dirinya yang masih lemah dan sakit-sakit akibat pukulan Badrul seminggu yang lalu. Nur Dhuha tunduk.
Membayangkan pukulan Badrul membuatkan dia sering dihantui rasa gelisah. Memang Nur Dhuha akui yang dia sudah lali dengan pukulan dan hentakan itu, tetapi ketakutannya tetap ada. Kesakitannya masih terasa. Dia juga manusia biasa yang dapat merasa apa itu kesakitan. Dia bukannya manusia luar biasa, yang hanya mampu menyepikan diri apabila diri dihentak dan diterajang sesuka hati. “Sampainya hati Abang Bad pukul aku macam tu.
Abang Bad tak sayang aku ke? Bukan ke aku saja adik dan saudara dia yang tinggal?” Hati Nur Dhuha dipagut rasa pilu yang dalam. Hatinya sebak tiba-tiba. Entah mengapa air matanya kembali menerjah ke kelopak mata. Dia gagal untuk menahan.
“Sampai bila aku harus menderita dengan keadaan ini? Sampai bilakah aku perlu melalui keperitan hidup sebegini?” Soal Nur Dhuha sendirian.
“Aku perlu mengubahnya! Aku perlu mencari di mana silapnya dan memperbetulkan kesalahan yang telah abangku lakukan.” Tekad Nur Dhuha sungguh-sungguh. “Tetapi di mana harus aku mulakan?”
“Dhuha! Oh, Dhuha!” Nur Dhuha tersentak apabila terdengar namanya dilaung dari luar rumah. Nur Dhuha kenal benar dengan suara itu. Perlahan-lahan dia menghayunkan langkah menuju ke tingkap bilik sebelum menyelak sedikit langsir untuk mengintai keluar. Tepat seperti yang dijangka. Maya sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumahnya.
“Kenapa Maya cari aku? Kalau aku keluar, mesti Maya nampak aku macam ni. Apa aku nak jawab?” “Dhuha! Aku tahu kau ada kat dalam. Bukak pintu ni! Aku nak masuk!” Nur Dhuha mengintai lagi. Kali ini Maya sudah pun terpacak di hadapan pintu rumahnya. Cepat-cepat Nur Dhuha menjauhi tingkap bilik. Dia berundur ke katil. Masih memikirkan jawapan yang wajar diberikan kepada Maya. Mujurlah Badrul tiada di rumah waktu itu. Sejak pagi dia sudah menghilangkan diri. Nur Dhuha malas mahu mengambil tahu lagi! “Dhuha!” Nur Dhuha melabuhkan punggungnya ke atas katil. Sejenak kemudian, dia bingkas kembali ke tingkap bilik. Namun kelibat Maya sudah tiada lagi di situ. “Dah balik kau Maya!” bisik Nur Dhuha perlahan. Dia mengeluh kecil. Sedikit lega dengan keadaan itu.
“Kenapa kau tak buka pintu? Kau nak sembunyikan apa daripada aku?” Tiba-tiba sahaja suara Maya menyergahnya dari arah belakang. Nur Dhuha tersentak. Dia segera memusingkan tubuh lalu terpandangkan Maya yang sedang bercekak pinggang di muka pintu biliknya. Baru dia teringat yang pintu rumahnya memang tidak berkunci. Maya yang jelas pada awalnya cuba menahan marah terus menghampiri. Sebaik terpandang wajah Nur Dhuha yang dipenuhi lebam dan luka-luka kecil, dia terkejut. “Kenapa ni Dhuha?” soal Maya sambil tangannya cuba menyentuh wajah Nur Dhuha. Nur Dhuha pantas menggeleng dan mengelak.
“Tak ada apa-apalah,” jawabnya.
“Kau cakap betul-betul. Kau kena pukul lagi ya?”
“Tak adalah!”
“Baik kau cakap. Abang Bad pukul kau lagi, kan?” “Tak!”
“Habis, macam mana muka kau boleh lebam-lebam macam ni? Minggu lepas, aku tengok muka kau tak ada apa-apa pun.” Maya masih tidak berpuas hati dengan jawapan Nur Dhuha.
“Lebam-lebam ni?” Jari telunjuk Nur Dhuha dihalakan ke wajahnya sendiri. Maya mengangguk. Dia memandang hairan Nur Dhuha yang tersenyum. “Aku terjatuh dalam bilik air dua hari lepas. Kau tak payah risaulah,” jawab Nur Dhuha dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.
“Kau jangan nak tipu akulah Dhuha! Aku bukannya bodoh. Lebam-lebam ni bukan kesan jatuh. Nampak macam kesan kena pukul aje! Kalau terjatuh, takkan teruk sampai macam ni sekali!”
“Kenapa kau cari aku ni?” soal Nur Dhuha sambil cuba menjauhkan dirinya daripada Maya. Dia mengorak langkah ke muka pintu. “Kenapa kau nak sembunyikan perangai Abang Bad lagi, Dhuha? Dia dah teruk seksa kau, tau tak? Kau tak boleh biarkan dia buat macam ni lagi. Ini dah kes mendera namanya!” Langkah Nur Dhuha terhenti di pintu bilik. Dia berpaling ke belakang menghadap Maya yang masih berdiri tegak di tengah-tengah biliknya.
“Apa kau cakap ni? Kan aku dah cakap yang aku tak apa-apa. Aku cuma terjatuh dalam bilik air. Itu aje!” balas Nur Dhuha masih mahu menyembunyikan perkara sebenar dari pada pengetahuan Maya.
“Aku tak percaya! Seminggu kau berkurung dalam rumah. Aku banyak kali cari kau kat sini, tapi kau tak nak keluar. Kenapa?” Suara Maya sudah meninggi. Dia benar-benar marah dengan tindakan Nur Dhuha yang menyembunyikan perbuatan zalim Badrul itu. “Masa kau datang, aku tengah tidur agaknya!” Nur Dhuha memberi alasan. Maya mendengus kasar.
“Aku tak peduli! Kalau kau tak nak laporkan pada rukun tetangga taman kita ni, aku akan laporkan bagi pihak kau. Tak pun, aku terus laporkan pada polis!” ugut Maya dan terus menyusun langkah untuk keluar dari situ. Nur Dhuha tersentak. “Maya!” Nur Dhuha sempat menarik pergelangan tangan rakannya dari terus berlalu. “Maya, tolonglah jangan laporkan pada sesiapa!” Pandangan mata Nur Dhuha dihala tepat ke anak mata Maya.
Maya terdiam. Terserlah kesayuan di mata Nur Dhuha. “Aku merayu pada kau Maya! Jangan laporkan pada polis. Tolonglah…” rayu Nur Dhuha lagi. Maya melepaskan keluhan berat. Tangan Nur Dhuha yang melekap di pergelangan tangannya digenggam.
“Sampai bila kau nak biarkan Abang Bad terus-terusan buat macam ni? Kau menyeksa diri sendiri, Dhuha.”
“Abang Bad yang jaga aku sejak kecil, Maya. Aku tak sampai hati nak biarkan dia ditahan. Kau bayangkan Maya, mak aku meninggal dunia sejak aku dilahirkan. Ayah aku pulak… entahlah! Kalau Abang Bad tak ada masa tu, entah apa yang dah jadi kat aku sekarang ni…” Nur Dhuha tertunduk. Dia berasa sayu dengan kata-katanya sendiri. Biarpun Badrul selalu menyeksanya, tidak pernah terlintas di hati kecilnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap abangnya itu. Nur Dhuha masih tetap sayangkan Badrul. Selama ini, lelaki itulah yang berusaha memberinya pendidikan, makan, pakai serta keperluan-keperluan lain. Cuma sikapnya sahaja yang panas baran. Bukankah perkara itu boleh diubah? Nur Dhuha cuba menyedapkan hatinya sendiri. “Susah hati aku dengan sikap kau ni, Dhuha! Bukan sekali dua Abang Bad buat kau macam ni! Dah berkali-kali, tau tak?” rungut Maya. Nur Dhuha terdiam. Biarlah. Walau apapun yang Maya cakap, dia sudah tidak kisah! Lebam-lebam itu pasti akan hilang. Lama-kelamaan, tidak akan memberikan sebarang kesan di wajahnya selain… Jari-jemarinya meraba-raba dahi. Terasa ada bonjolan parut yang panjang di situ. Yang pasti, parut tersebut bukan angkara Badrul.
“Kau tak kerja hari ni?” tanya Maya sambil mendekati Nur Dhuha. Nur Dhuha memandang jam yang tergantung di dinding kamarnya. Tepat pukul 7.30 pagi. “Dah hampir seminggu aku tak masuk kerja. Hari ni, cadangnya aku nak pergilah…” Nur Dhuha menjawab lemah. “Lebam-lebam kat muka kau tu masih nampak lagi. Nanti apa pulak kata kawan-kawan kerja kau!” Maya diburu rasa bimbang.
“Kalau dibedak-bedakkan, tak nampaklah lebam ni kot!” “Muka kau tu tak pernah dibedak, Dhuha! Kalau tiba-tiba kau berbedak semata-mata nak tutup kesan lebam tu, janggal pulak orang tengok nanti.” Maya sempat menyindir. Memang sejak dia mengenali Nur Dhuha, jarang sekali dia melihat gadis itu menepek bedak yang tebal-tebal di mukanya. Bagi Maya, kelicinan kulit Nur Dhuha sudah semulajadi. Tidak perlu ditambah-tambah dengan solekan kerana dia tahu tanpa mekap pun, gadis itu tetap menarik.
Sewaktu di sekolah dahulu, kecantikan Nur Dhuha tidak begitu menyerlah. Kebanyakan pakaiannya ikut “dan” sahaja! Cantik atau tidak pakaiannya, Nur Dhuha tidak pernah ambil peduli. Tetapi setelah meningkat dewasa, keadaan fizikal Nur Dhuha sudah banyak berubah. Lain benar! Perubahan yang benar-benar telah menjadikannya seorang anak gadis yang mempunyai kecantikan tersendiri. Tubuhnya yang dahulu agak gempal dan rendah, kini berubah tinggi dan langsing. Jerawat yang dahulunya agak penuh di seluruh kulit muka, semakin lama semakin menghilang dan berubah bersih dan cantik.
Cuma yang masih kekal di wajah Nur Dhuha ialah parut sepanjang jari di dahi. Parut yang disebabkan oleh rakan sekolahnya dahulu! Pun begitu, ia tidak langsung mencacatkan anggota wajahnya. Nur Dhuha tetap cantik. “Habis? Aku nak buat macam mana ni?” Nur Dhuha menyoal. “Cutilah dua tiga hari lagi,” saran Maya kemudiannya.
“Eh, tak boleh. Aku kena pergi kerja jugak hari ni.” Cepat-cepat Nur Dhuha memintas percakapan Maya. Nur Dhuha tidak mahu memikirkan apa-apa alasan lagi selain bersiap-siap untuk ke Hotel Sari Astana. Dalam masa 15 minit lagi, dia akan berjalan kaki dan menaiki bas. Dia akan sampai di hotel tempatnya bekerja dalam masa 10 minit. Nur Dhuha benar-benar bersyukur kerana jarak rumahnya dengan hotel itu tidaklah begitu jauh.
SEPERTI selalu, Nur Dhuha terkocoh-kocoh berlari ke dewan perjumpaan. Dia sudah terlewat 15 minit. Ketika dia memasuki dewan, semua pekerja sedang diberi taklimat. Nur Dhuha dapat menangkap sorotan mata Tee Keong yang memandangnya. Cepat-cepat Nur Dhuha mengambil tempatnya seperti biasa. “Kau pergi mana cuti lama-lama ni, Dhuha?” Hazlela berbisik halus di sisinya. Tidak sempat dia hendak membetulkan uniformnya yang agak tidak kemas hari itu. Nur Dhuha mengerling Hazlela seketika sebelum meletakkan anak matanya ke arah Tee Keong yang sedang menerangkan sesuatu di hadapan pekerja-pekerja lain. “Aku cuti. Tak sihat.”
“Tak sihat? Kau sakit ke? Serius?” Nur Dhuha menggeleng. “Tak sihat sikit aje. Sakit-sakit biasa!” balas Nur Dhuha masih berbisik. “Cuti sampai seminggu kau cakap tak serius? Kau biar betul!” Nur Dhuha hanya diam mendengar komen Hazlela. Dia malas mahu menerangkan sebab sebenar dia tidak dapat datang bekerja beberapa hari yang lalu. “Eh, kenapa muka kau lain macam aje aku tengok? Ada lebam-lebam…”
“Tak adalah. Mana ada…” Nur Dhuha menepis pantas tangan Hazlela yang sudah hampir ke wajahnya. “Dhuha, habis taklimat nanti, saya nak bercakap dengan awak sekejap!” Suara Tee Keong yang kuat itu sedikit menyentap hati Nur Dhuha. Hazlela yang ingin menyambung kata terus menyepikan diri. Nur Dhuha terkedu. “Nak jumpa aku? Habislah…!” Hatinya risau tiba-tiba. Sempat anak matanya dan anak mata Hazlela bersabung pandang. Selepas semua pekerja bersurai, Nur Dhuha melangkah menghampiri Tee Keong.
“Kenapa Tee Keong?” Nur Dhuha bertanya lembut. Sejak hari pertama dia bekerja di hotel itu, Tee Keong sendiri tidak kisah jika dia memanggil dengan nama sahaja. Lelaki itu nampak baik biarpun usianya kelihatan tua beberapa tahun daripada Nur Dhuha.
Tee Keong ialah seorang pengurus yang mementingkan kebajikan pekerja di bawah seliaannya. Tee Keonglah yang banyak menegur jika dia melakukan kesilapan sejak mula dia bekerja di hotel tersebut. “Awak ambil MC tu, ada bukti daripada doktor panel kita tak?” Tee Keong bertanya. Nur Dhuha dan Tee Keong jalan beriringan menyusur keluar dari dewan perjumpaan.
“Bukti? Kena ada ke?” Berkerut-kerut dahi Nur Dhuha menyoal lelaki di sisinya itu. Terfikir-fikir kepentingan surat MC yang sepatutnya dititikberatkan. Ê Tee Keong mengeluh kecil. “Semalam bos dah marah sebab awak masih seorang pelatih. Prosedur hotel ni… seorang pelatih tak boleh bercuti selagi belum confirm sebagai pekerja yang sah,” jelas Tee Keong lembut dan penuh diplomasi. Nur Dhuha menggeleng tanda tidak faham dengan penjelasan lelaki Cina itu.
“Silap saya sebab tak beritahu awak awal-awal lagi. Sepatutnya, selepas tiga bulan awak bekerja di sini, bos akan membuat penilaian berdasarkan disiplin, kecekapan dan cara komunikasi awak selama bekerja sebagai pelatih sebelum bos menetapkan untuk mengambil awak sebagai pekerja tetap atau tidak.”
“Jadi?” “Tak tau bagaimana saya nak cakap, Dhuha. Bos nak jumpa awak pukul 10.00 nanti di biliknya.” Nur Dhuha mula didatangi resah. Bos hendak berjumpa aku? Apa hendak aku katakan pada bos nanti? Sudahlah itu kali pertama mereka bersua. Apa pula tanggapan bos dengan disiplin kerjanya. Entah mengapa hati Nur Dhuha diburu debaran dan gementar.
“Tak apalah. Kalau bos panggil nanti, saya akan temankan awak,” ujar Tee Keong untuk menyedapkan hati Nur Dhuha biarpun dia tahu bosnya itu tidak mungkin akan membenarkan dia masuk untuk mendengar penjelasan daripada seorang pekerja. Itu memang sudah menjadi prinsip bosnya!