sEHANGAT aSMARA
Udara begitu nyaman, sedikit dingin kerana musim sejuk sudah hampir sampai ke penghujung dan kini memasuki musim bunga. Cuaca sungguh segar hari ini. Aku dan Mimie, berbual mesra di sebuah bangku di taman kecil. Kuliah kedua kami akan bermula sejam lagi. Tapi kami rasa lebih seronok menghabiskan masa bersantai hingga ke petang seperti ini. “Malam ini parti kat tempat biasa tau. Geng-geng kita semua datang,” kata Mimie penuh makna sambil membetulkan stoking hitamnya. “Aku tak ada moodlah,” jawabku. “Mood? Sejak bila pergi parti baru nak ikut mood? Hei, ini ke Kamilia yang aku kenal? You are not yourself today, are you?” Aku hanya tersengih bila ditegur Mimie begitu. “Ini pertama kali aku dengar kau cakap macam tu. Kenapa, dah tak ada baju nak pakai? The tight dress yang baru beli semalam, kan okey? Tak cukup seksi lagi ke?” Selamba sahaja Mimie mengingatkan aku pada baju merah bertali halus dan singkat hingga ke paha itu. “Entahlah, rasa semacam,” jawabku malas. “Alah, jangan mengarutlah Kay. Parti hari ini ramai pakwe luar datang. Diana ada rancangan. Kali ini yang datang semua cool habis,” kata Mimie, girang. “Ya ke? Jangan student kita lagi, sudahlah. Aku dah jemu tengok muka mereka,” komenku. “Yalah. Muka handsome, poket sengkek. Yang poket penuh, tapi muka pula tak ada selera langsung. Yang tinggi macam pokok kelapa, yang pendek jangan cakap lagi,” tambah Mimie lagi sambil ketawa. Perbualan kami semakin rancak. Sekali-sekala para pelajar yang lalu-lalang mencuri pandang ke arah kami berdua. Tiba-tiba Mimie menghulurkan sebotol pewarna kuku dari beg kuliahnya. “Eh, cantiknya warna ni. Kenapa kau tak ajak aku pergi beli?” kataku sambil membelek-belek botol pewarna kuku yang merah menyala itu. Serentak dengan itu kami didatangi pula oleh sekumpulan pelajar lelaki dari Turki, teman-teman sealiran dengan kami. Tidak sampai beberapa minit kemudian, mereka berlalu pergi. “Lain macam aku tengok Hossein tu dengan kau. Semacam aje dia pandang kau,” ujarku sempat memerhatikan lelaki yang bertubuh sederhana itu. Mukanya agak cute juga, tapi kalau aku… mungkin aku boleh cari lebih dari itu. Tapi tak tahulah kalau Mimie amat terdesak ketika ini. “Kau tayang body kau dulu ke, atau dia yang mula tayang dada dia yang berbulu pada kau?” usikku lagi. “Hisy, berdosa cakap macam tu,” jawab Mimie serius. Kemudian dia ketawa. Aku juga turut ketawa dengan tingkahnya yang lucu itu. “Tak payah angkat kain tinggi-tinggi Kay. Aku baru tunjuk betis aje, member terus nak terkeluar biji mata tengok aku. Belum lagi aku tunjuk paha gebu aku ni,” sambung Mimie dengan wajah penuh aksi. “Aku ini saja nak test market. Mamat dari Turki aku tak main. Aku nak cari mamat badan smart. Keras berketul-ketul macam Van Diesel tu. Mata pun… stim aje. Sekali dia peluk aku, meronta-ronta aku dibuatnya. Lemas… lemas… lemas…” cerita Mimie siap dengan lakonannya sekali hingga tidak sedar skirt pendeknya sudah di paras bahaya. Aku ketawa sambil menunjukkan skirtnya itu yang sudah mula terselak lebih tinggi dari biasa. “Cerita, cerita juga. Takkan kau nak buat free show kat sini?” Spontan Mimie membetulkan skirtnya itu. Tapi masih terserlah pahanya yang dibaluti stoking hitam. “Eh, kau tak nak cari pakwe?” tanya Mimie. “Aku tengok kau ni, kadang-kadang lebih hebat dari aku. Aku kena tayang betis, baru orang nak datang. Tapi kau kenyit mata aje, lelaki dah keliling kau. Terror juga kau ni, Kay.” “Tengok oranglah. Kau tu tak habis menuntut lagi.” “Satu dorm dah tahu Adam syok sangat pada kau. Kau ada dengar tak?” soal Mimie. Aku mengambil jari-jari Mimie dan terus mewarnanya dengan penuh hati-hati supaya tidak selekeh. “Itu main-main aje. Relakslah. Aku ni, tak terfikir nak cari boyfriend. Tapi nak cari spare part aje banyak-banyak. Lepas tu, barulah aku fikir nak cari yang lebih sesuai.” Mimie tersengih. “Kadang-kadang main-mainkan orang ni, seronok juga ya?” “Kau baru tahu?” soalku dengan bangga. “Tapi mereka tu anak orang kaya. Kau tak tersangkut ke?” Mimie seperti cuba menduga aku. “Hellooo! Bapak aku pun kaya juga. Tan Sri lagi. Tak heranlah tu semua.” “Memang pun!” Mimie bersetuju dengan kata-kataku. “Eh, hari tu, aku ada jumpa mamat seorang ni. Aku tanya Clare siapa budak tu. Handsome Kay, gila aku dibuatnya,” cerita Mimie. “Budak mana?” “Kata Clare, mamat ni dari Spain.” “Loaded?” “Cakap pun tak pernah, mana aku tahu loaded ke tidak!” Aku pula yang tersengih lebar. “Cutelah tu?” “Cute habis. Lebih handsome dari Van Diesel aku.” Aku ketawa gelihati. “Nama dia?” “Enrique Ivan Gonzalez.” “Kesian… lelaki malang mana pulak yang jadi korban kau kali ini.” Mimie ketawa lagi. Mungkin hanya ketawa kami yang riuh-rendah di taman kecil ini. “Budak kelas mana?” “Budak engine.” Aku menutup kembali botol pewarna itu setelah kerjaku selesai. Mimie melihat jari-jemarinya itu dengan puas. “Kenapa tak kenalkan pada aku?” “Aku sendiri tak kenal.” “So, apalagi, jalankanlah projek kau tu.” Mimie ketawa lagi. “Kau pun, bila nak jalankan projek?” “Eh, dah jalan pun. Bye, mamat aku seorang ni dah memanggil-manggil dari tadi.” Aku bangun bila Rio, pelajar tahun dua dari Venezuela sudah berdiri di hadapanku. Kami meninggalkan Mimie yang terpinga-pinga sendirian. TEPAT jam 7.00 malam aku dan Mimie sudah berada di The Bar Oz The Old Fire Station, sebuah pub yang dipilih oleh Diana, kenalan kami yang juga dari Malaysia. Kami tidak mengenalinya ketika sampai di sini. Namun, aktiviti kami pada hampir setiap malam itu, menjadikan kami kawan baik. Aku dan Mimie diperkenalkan dengan kawan-kawan Diana yang semuanya lelaki. Pub ini bukanlah seperti yang kami fikirkan. Di sini peraturannya lain. Para pengunjung cuma dibenarkan duduk bersantai, minum sambil mendengar muzik dan terus pulang. Ia bukanlah tempat tari-menari seperti yang aku dan Mimie fikirkan seperti di Po Na Na, iaitu tempat kami sering berkumpul sebelum ini. Ada beberapa orang pelajar dari tempat kami juga berada di situ. Pengunjung yang lain adalah dari masyarakat setempat. Pada dasarnya, aku lebih gemar ke suatu tempat yang kami boleh menari dengan muzik yang hingar-bingar serta pancaran cahaya laser yang mengikut rentak lagu. Namun tidak sampai satu jam, aku dan Mimie minta diri untuk pulang. Tempat ini bukan seperti yang kami inginkan. “Aku tahulah kau tak suka tempat ni,” pujuk Diana. “Kalau kau ajak aku ke sini lagi, memang aku tak mengaku kau kawan lagi, Dee,” jawab Mimie, separuh gurau. Tapi bagiku, maksudnya begitu tegas sekali. Aku tahu, dia bengang sejak melangkah masuk ke tempat ini. Pub ini langsung tidak menepati citarasa aku lebih-lebih lagi pada Mimie. Aku sempat mengintai-intai ke arah sekelompok teman-teman lelaki yang baru kami kenali tadi. Barbara, Meena, Leonora yang belajar satu kelas dengan kami masih lagi berkepit dengan pasangan masing-masing. “You all ni memang teruklah! Kalau suka, kau berkepit berjam-jam. Tapi kalau tak suka, angkat kaki macam tu aje!” rungut Diana. Mimie hanya senyum sinis. “Sorry, aku nak balik Dee. Dari awal lagi aku memang tak ada mood nak datang. Tapi Mimie yang beria-ia ajak aku,” jawabku memberi alasan. “Excuse me! Jangan nak salahkan aku pulak,” jawab Mimie meninggi suara. “Eh, kalau ikutkan hati, aku memang malas nak pergi. Assignment aku tak habis lagi. Kau yang gatal sangat ajak aku ke sini,” tengking aku pula. Diana memandang aku. Pertama kali dalam persahabatan kami, dia cuba meraih simpatiku. “Sorry Dee, aku benar-benar tak ada mood. Maybe next time. Lagipun aku datang dengan Mimie. Kalau dia balik, aku tak balik, susahlah. Aku tak berani balik seorang diri,” jawabku memberi alasan memujuk Diana. Diana memandang kami tidak puas hati. “Fine! Kalau kau orang nak balik, baliklah!” Dia masuk semula ke dalam pub dengan perasaan kecewa. Aku tahu dia merajuk dan marah dengan kami berdua. Inilah kali pertama aku dan Mimie meninggalkan dia keseorangan di sini.